top of page

MAJALAH

rasam

Search
  • Writer's picturemixmalaysianpublic

Perayaan dan Makanan Tradisi Suku Kaum KadazanDusun di Sabah

Updated: Dec 17, 2018

Excifilecia Jubilee

Email: excifileciajubilee@gmail.com

"life the way you live"


Kaum Kadazandusun merupakan sebuah etnik peribumi yang menetapkan di pantai barat sabah dan kawasan pendalaman sekitarnya. Kaum kadazan-dusun sebenarnya dibentuk oleh dua kaum utama Sabah iaitu ‘Kadazan’ dan ‘Dusun’ namun disebabkan persamaan bahasa, budaya dan situasi politik kaum ‘Kadazan’ dengan kaum ‘Dusun’ satu istilah baru telah terbentuk untuk menyatukan kedua-dua kaum ini iaitu ‘Kadazan-Dusun’. Kaum Kadazan-Dusun membentuk etnik terbesar di Sabah.


Dalam aspek asal-usul, lagenda dan perkembangan suku kaum Kadazandusun menjelaskan tentang kelahiran kaum Kadazandusun dan lagenda kelahiran kaum ini bermula dari "Nunuk Ragang" sehinggalah kepada perkembangan dan penyebaran suku kaum ini ke seluruh pelusuk negeri Sabah yang telah banyak mempengaruhi sosio budaya mereka mengikut tempat yang baru, contohnya dari aspek bahasa dan corak kehidupan mereka. Mengikut statistik, terdapat lebih kurang 40 etnik yang terdapat dalam suku kaum Kadazandusun.


Disebabkan masyarakat Kadazandusun ini memiliki pelbagai budaya yang unik mengikut etnik tertentu maka corak hidup mereka juga berbeza mengikut tempat tertentu. Kebanyakan corak kehidupan mereka ini dipengaruhi oleh adat resam penduduk setempat. Adat resam inilah yang mempengaruhi corak kehidupan masyarakat Kadazandusun sesuatu kawasan.


Pesta Kaamatan (Menuai) disambut oleh Kadazandusun sebagai meraikan hasil tuaian baik, Tetapi Pesta Kaamatan juga disambut oleh semua kaum lain Sabah


Pesta Kaamatan disambut sepanjang bulan Mei walaupun perayaan ini hanya jatuh pada tarikh 30 dan 31 Mei.

Kemuncak perayaan Kaamatan adalah peraduan ratu cantik atau "unduk ngadau", tarian tradisi, dan upacara kemuncak yang dijalankan oleh Bobohizan yang membwa maksud "ketua pendita". Pesta Kaamatan bagi kaum Kadazan juga dikenali sebagai 'Tadau Ka'amatan' dalam bahasa Kadazandusun. Kadazan percaya kepada makhluk halus dan dipercayai terdapat lima makhluk halus: "Kinoringan" (Ketua makluk halus & Pencipta), "Rusod" (semangat semua benda hidup kecuali manusia), "Koududuwo" (semangat manusia), "Tombiruo" (semangat orang yang telah meninggal), dan Rogon (semangat jahat).


 Ketika pesta Kaamatan, penduduk Sabah mengenakan pakaian tradisi mereka mengikut asal atau daerah mereka dan bersuka-ria. Selain menari Sumazau dengan alat muzik tradisi, "tapai" (arak beras) dihidangkan sebagai minuman istimewa. Penduduk Sabah akan menyapa sesama mereka dengan ucapan 'Kopivosian Tadau Ka'amatan' atau 'Selamat Hari Menuai'.


Pesta Kaamatan atau di dalam bahasa kadazan "Magavau" ini merupakan upacara perayaan khas untuk menghormati "Bambazon" iaitu semangat padi. Perayaan ini adalah amalan secara tradisi kaum kadazandusun sejak zaman berzaman.


Perayaan "Magavau" ini biasanya diadakan selepas selesai menuai padi. Pesta Kaamatan yang kita rayakan dewasa ini telajh diluluskan oleh Majlis Undangan Kerajaan Koloni sebagai Cuti Umum sejak tahun 1960 lagi. Beliau yang bertanggungjawab untuk mengusulkan agar Pesta Kaamatan ini diisytiharkan sebagai Cuti Umum ialah Allahyaraham YAB Tun Haji Mohamad Fuad Stephens, SMN, PSM. SPDK, PNBS, bekas Ketua Menteri Sabah yang pertama.


 Menurut kepercayaan Kadazan, semangat padi merupakan Kinoingan (Kinorohingan dalam dialek Dusun) yang dikenali sebagai Bambaazon, disembah sebagai pencipta dan berkuasa sumber kepada kewujudan. Semangat padi Bambaazon dimuliakan pada pokok padi, beras, dan nasi. Ramai yang mempercayai bahawa "Tanpa padi, tiada kehidupan."


Menurut kepercayaan suku kaum Kadazandusun, padi berasal daripada isi manusia yang bernama Huminodun. Huminodun ialah seorang gadis jelita anak kepada Kinoingan. Kinoringan ialah nama Tuhan bagi nenek moyang suka kaum Kadazandusun.


 Kinoringan telah mengorbankan anaknya Huminodun demi mengatasi masalah kebuluran di dunia. Menurut kepercayaan suku kaum ini, segala jenis bahan makanan yang utama berasal dari pelbagai bahagian badan Huminodun. Beras dari isinya yang putih melepak; darahnya yang merah telah bertukar menjadi lada; halia pula adalah jari jemari Huminodun; bawang 'tagaas' berasal dari rambut Huminodun; giginya bertukar menjadi jagung; kepalanya pula menjadi kelapa dan sebagainya. Oleh itu demi menghormati dan mensyukuri pengorbanan Kinoringan dan Huminodun, nenek moyang suku kaum ini mengadakan upacara-upacara adat seperti Momohizan dan Humabot.


Upacara "Momohizan" pula diadakan pada bulan Ogos atau bulan September apabila padi selesai dituai. Upacara momohizan diadakan untuk memuja semangat padi dan memberi makan kepada penjaga semangat padi supaya membantu untuk menyuburkan padi dan melindungi padi dari sebarang penyakit atau bencana alam. Upacara momohizan biasanya berlangsung dirumah keluarga suku kaum Kadazandusun golongan berada. Sementara itu golongan yang kurang berada akan meminta untuk didoakan bersama ataupun dalam bahasa Kadazandusun 'mikiompit'.

Upacara Humabot ialah adat suku kaum Kadazandusun yang diamalkan oleh nenek moyang suku kaum ini apabila mendirikan rumah baru. Sebuah keluarga suku kaum ini yang akan mendirikan rumah akan meminta Bobohizan untuk menjampi tanah tapak rumah itu didirikan.


Selain perayaan, biasanya suku kaum Kadazandusun yang tinggal di kampung, masih mengamalkan cara masakan atau hidangan secara tradisional ini. Kita juga dapat melihat dan merasa hidangan seumpama ini pada masa upacara seperti perkahwinan dan majlis lain di adakan oleh suku kaum Kadazandusun. Antara makanan tradisi yang terkenal di kalangan kaum Kadazandusun ialah Hinava, Noonsom, Pinaasakan, Bosou, Tuhau, Sup Kinoring Bakas (tidak halal) dan Sup Manuk Lihing. Makanan-makanan ini dapat disediakan dengan pelbagai cara mengikut kebiasaan amalan tradisi kaum Kadazandusun.


Sesungguhnya makanan tradisional bagi kaum Kadazandusun ini amat berbeza dari kaum yang lain terdapat di negeri Sabah. Selain makanan ini lazat, sudah tentu ianya juga mempunyai keunikannya yang tersendiri. Masyarakat Sabah telah dianugerahkan dengan pelbagai jenis makanan. Ini adalah kerana keadaan semulajadi bentuk muka buminya banyak membekalkan sumber pencarian makanan yang mudah didapatkan oleh penduduknya.


Kesimpulannya, masyarakat Kadazandusun memang memiliki warisan budaya yang sungguh unik, asli dan menarik. Masyarakat pelbagai etnik dan kebudayaan hidup dalam keadaan yang harmoni dan saling  bantu membantu antara satu sama lain adalah merupakan keunikan bagi negeri Sabah. Masyarakatnya hidup dalam  keadaan  kepelbagaian  budaya dan menarik perhatian ramai pelancong luar  ke negeri ini. Oleh itu, menjaga dan mengekalkan kebudayaan ini adalah sangat penting untuk warisan generasi pada masa akan datang agar budaya ini tidak akan pupus atau dilupakan untuk pada masa yang akan datang nanti.

13,505 views0 comments

© 2023 by The Artifact. Proudly created with Wix.com

bottom of page