top of page

MAJALAH

rasam

Search
Writer's picturemixmalaysianpublic

Perayaan Kaum Melanau


Masyarakat Melanau merupakan masyarakat etnik yang terdapat di Sarawak. Masyarakat Melanau mempunyai persamaan dengan masyarakat Melayu dari segi kepercayaan, perayaan, dan adat resam. Namun, masyarakat Melanau tetap mempunyai budaya dan adat resam mereka yang tersendiri.  Adat-adat ini diwarisi sejak zaman-berzaman dan tetap diteruskan hingga ke hari ini. Dalam Seminar Budaya Melanau I yang diadakan di Dewan Suarah Mukah pada 25 hingga 27 Julai 1988 dapat dikenal pasti sekurang-kurangnya ada enam kumpulan dialek Melanau dan mereka termasuk kumpulan kecil seperti Bliun, Kanowit, Balingian, Orang Miriek, Seduan, Segalang, Rajang, Paloh, Igan, Matu (Matu-Daro), Tatau, Segahan/ Preban, Segan (Bintulu), Siuteng (Mukah), Oya dan Dalat. Walaupun mempunyai kepelbagaian dialek, namun mereka tetap bersatu sebagai orang Melanau.


Kaul Melanau adalah salah satu perayaan popular yang disambut oleh masyarakat Melanau. Ia bertujuan menghargai pelbagai jenis semangat seperti semangat tanah, hutan, laut, dan kebun mereka. Tidak kiralah anda Melanau dari mana, tetapi harus sambut pesta ini bagi menunjukkan anda seorang Melanau. Ini membuktikan masyarakat Melanau dapat dikenalpasti dengan pesta ini. Pesta ini disambut berlandaskan kalendar unik iaitu sistem kalendar yang berdasarkan kedudukan bulan. Bulan pertama dikenali sebagai pengejin dan upacara kaul diadakan pada bulan tersebut. Bulan-bulan lain dalam masyarakat Melanau ialah seperti bulan pengelawak umik, bulan pengelawak ayang, bulan pelepak, bulan paka umik, bulan pakar ayang, bulan pegalan, bulan suah, bulan pidai, bulan penangih, bulan pamelai dan bulan pengasiseang. Kenyataan ini dikukuhkan lagi dalam penulisan buku oleh Jasmin Ahmad dan Nora Hj. Samat yang bertajuk Perayaan Pelbagai Kaum.


Apabila upacara Pesta Kaul diadakan, seorang lelaki yang mempunyai kedudukan akan dilantik sebagai ketua dan digelar sebagai Bapak Kaul. Jawatan ini sangat penting dalam acara Pesta Kaul. Bapak Kaul ini berperanan sebagai orang tengah atau orang perantaraan yang menghubungkan ipok dan manusia. Dalam memastikan upacara Kaul ini berjalan mengikut peraturan dan adat turun-temurun  Bapak Kaul bertanggungjawab untuk memastikan upacara yang dijalankan betul. Tambahan juga, Bapak Kaul merupakan tonggak utama upacara Pesta Kaul ini. Beliau bertanggungjawab memujuk, merayu kepada makhluk halus atau ipok serta menghalau segala kejahatan dan malapetaka yang mungkin akan menimpa sesiapa sahaja malah bertanggungjawab memastikan pantang larang dipatuhi dan mereka yang ingkar akan dihukum.


Bapak Kaul ini berasal daripada keturunan Sepok di Dalat, Mukah. Menurut sumber, orang lain tidak boleh menjadi Bapak Kaul kerana  beberapa orang dari generasi ini telah menjadi Bapak Kaul dan amalan ini belum lagi dilanggar kerana penduduk takut sesuatu yang tidak baik akan menimpa mereka sekiranya mereka ingkar. Persediaan perlulah dilakukan sebelum Pesta Kaul dijalankan. Bahan yang diperlukan untuk dipersembahkan kepada ipok kala ialah bertih, kuih penyaram, beras kuning, papit, pais, rokok daun  nipah dan sirih pinang. Bahan–bahan tersebut akan diletakkan dalam tujuh buah bekas yang diperbuat daripada daun nipah dan bekas ini akan dimasukkan dalam talam yang dipanggil serahang. Kebanyakkan serahang dibuat oleh wanita kerana wanita dikatakan lebih teliti dan sesuai dengan sifat wanita yang lemah lembut. Serahang ini dibuat berdasarkan motif tertentu. Motif–motif pada serahang turut melambangkan imej ipok laut, darat dan udara. Berdasarkan pemerhatian, serahang bukan sahaja memerlukan ketelitian yang tinggi tetapi juga kesabaran dan daya kreativiti yang bermutu dengan mengambil kira unsur tertentu dalam Pesta Kaul dan sistem kepercayaan masyarakat.


Tambahan juga, sumber turut menyatakan serahang berasal daripada perkataan ‘serahan’ iaitu barang persembahan kepada ipok. Serahang mempunyai ketinggian sekitar tujuh kaki yang mempunyai bentuk serta unsur-unsur tersendiri. Komponen yang terdapat pada serahang tersebut mestilah lengkap tanpa sebarang kecacatan kerana serahang yang tidak lengkap dan tidak sempurna akan mengundang kemarahan ipok dan akhirnya bala akan menimpa kepada sesiapa yang membuatnya.

           Penghulu atau wakilnya akan memukul gong atau canang tujuh hari sebelum upacara Pesta Kaul diadakan. Hal ini disebabkan, penduduk kampung dapat menyelesaikan kerja-kerja mereka di hutan mahupun di laut. Bukan itu sahaja, canang atau gong juga akan turut dipukul sekali lagi tiga hari sebelum kaul untuk mengingatkan penduduk kampung supaya menyelesaikan kerja mereka dengan segera dan memberi peluang kepada setiap keluarga untuk menyediakan makanan bagi jamuan pesta kaul dan turut menghias bahuong


           Selain itu, semua keluarga dari kampung yang terlibat akan turun membawa jamuan ke tempat upacara kaul. Setiap ahli keluarga dimestikan untuk menghadirkan diri kecuali orang yang telah uzur. Semua serahang yang telah dibuat akan didirikan di sekitar pantai atau muara sungai tempat pesta kaul itu diadakan. Upacara ini akan dimulakan dengan jampi mantera oleh ketua kaul yang ditujukan kepada ipok kala. Tujuh batang lilin akan dinyalakan. Tujuan lilin ini dinyalakan kerana kononnya untuk mewakili setiap lapisan bumi dan menerangi mereka yang telah meninggal dunia. Beras kuning akan ditabur oleh bapak kaul di sekitar kawasan serahang dan kepada barisan penduduk kampung yang sedang menghadapi makanan. Ketua kaul akan memberi arahan supaya hidangan dinikmati dan penduduk yang hadir turut boleh menikmati hidangan yang dibawa oleh keluarga lain kerana perbuatan ini sangat disukai oleh ipok kala dan dipercayai boleh menambah rezeki mereka yang melakukannya. Upacara ini dapat dibuktikan melalui buku Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu.


            Selesainya jamuan, ketua kaul dan pembantunya akan membawa serahang tersebut ke tempat yang dipercayai didiami oleh makhluk halus. Persembahan ini sangat penting bagi masyarakat Likau kerana untuk mengelakkan ipok yang mendiami kawasan tersebut marah sehingga boleh menimbulkan malapetaka. Setelah itu barulah acara hiburan akan diadakan.Antara acara hiburan yang akan diadakan ialah acara lumba perahu, pencak silat, main tibau, main gasing, mengalai dan tarian tradisional masyarakat Melanau seperti tarian buluh, tarian mengarang, dan tarian serahang.

Terdapat beberapa peraturan yang dikenakan semasa Pesta Kaul diadakan iaitu tidak dibenarkan keluar menangkap ikan pada waktu pagi di hari perayaan kerana Pesta Kaul ini menandakan bermulanya tahun baru serta dengan kata lain tamatnya, musim hujan dan nelayan boleh menangkap ikan kerana cuaca dijangka baik.


Kesimpulannya, Pesta Kaul pada masa kini telah mendapat sambutan yang hebat dan telah disertai oleh semua lapisan masyarakat dari pelbagai kaum terutamanya untuk melihat dan menyertai pelbagai permainan tradisi seperti Tibou, pameran dan jualan makanan eksotik tempatan seperti Tebaloi, Si'et, Sagu dan Umai, persembahan kebudayaan, pameran kraftangan dan yang lebih menarik adalah proses penyatuan keakrabaan yang menemukan pelbagai bangsa, agama dan pertuturan dalam upacara perkelahan komuniti yang besar ini.

5,870 views0 comments

Comments


bottom of page