Melalui penampilan luaran sahaja sudah cukup untuk memberi gambaran awal kepada orang lain siapa diri kita dan cara kita membawa diri. Disamping itu, permainan tradisional merupakan permainan yang dimainkan oleh generasi pada zaman dahulu yakni pada zaman nenek moyang kita sejak dahulu lagi. Permainan ini juga dikenali sebagai permainan rakyat yang juga menjadi lambang kepada sesebuah kaum. Dengan menyebut sahaja nama pakaian atau jenis permainan, sudah pasti akan tergambar kaum yang mewakili pakaian dan pemakaian tersebut.
Orang Melayu tempatan pra sejarah sudah mempunyai kemahiran membuat pakaian daripada kulit kayu melalui bukti batu penerap yang ditemui. Dipercayai, batu penerap itu digunakan sebagai penumbuk kulit kayu supaya menjadi lembut dan nipis.
Sebelum kedatangan Islam, pengaruh Hindu-Buddha masih kuat ke atas masyarakat Melayu. Masyarakat tempatan pada masa itu, memakai pakaian yang amat ringkas. Mereka hanya menutup di bahagian tertentu tubuh. Kaum lelaki hanya menggunakan dua helai kain iaitu kain di kepala yang diikat ringkas dan kain sarung dikilas atau kain sarung dijadikan cawat. Pakaian sebegini sesuai dan selesa dipakai dalam cuaca panas kawasan tropika. Kaum wanita pula hanya menggunakan tiga helai kain iaitu kain sarung, kain kemban dan kain selendang. Perbezaan golongan wanita bangsawan dengan rakyat adalah golongan bangsawan menggunakan kain daripada jenis yang mahal dan indah serta memakai perhiasan keemasan. Dapat dilihat jurang sosial yang wujud dari cara berpakaian masyarakat, semenjak sebelum kedatangan Islam.
Memandangkan kedatangan agama Islam dalam kalangan masyarakat Melayu, dan masyarakat semakin banyak memeluk memeluk agama Islam dan mengamalkan ajaran Islam, mereka mula memakai baju kurung yang lebih sopan, menutup aurat sederhana dan elegan. Pakaian kurung adalah baju panjang sehingga paras lutut yang longgar yang biasanya dipakai bersama kain panjang. Manakala, pakaian tradisional untuk lelaki Melayu ialah baju Melayu. Pakaian melayu bagi lelaki adalah baju longgar yang dipakai bersama seluar panjang dan juga samping iaitu kain pendek dari paras pinggang hingga ke lutut sebagai tambahan. Ia biasanya dilengkapi dengan songkok yang dipakai di kepala.
Masyarakat berbilang kaum di Malaysia mempunyai pelbagai jenis kebudayaan yang digarap daripada pelbagai keturunan.Kebudayaan ini disatukan menjadi satu kebudayaan yang unik kerana hampir setiap keturunan mempunyai adat sehingga membentuk kebudayaan masing-masing.Ini termasuklah suka bergotong-royong menjalankan kegiatan ekonomi, di mana ikatan itu terus diperkukuh dan dipererat dengan acara-acara keramaian dan juga hiburan.Lantaran resam yang demikian maka banyak permainan tradisional yang dipertandingkan. Permainan tradisional telah berupaya membentuk sebahagian daripada kehidupan yang dilalui oleh nenek moyang masyarakat masing-masing.
Asas penting yang menjamin kesinambungan permainan tradisional pada masa lalu ialah keseragaman cara hidup nenek moyang kita. Malah sejak dari kecil lagi mereka membiasakan diri dengan keadaan yang demikian.Ada di antara permainan ini yang sekarang tidak dimainkan lagi tetapi hanya diketahui oleh ibu bapa dan datuk nenek kita sahaja.Tetapi ada juga yang masih dimainkan lagi oleh kanak-kanak sehingga hari ini.
Masyarakat pada zaman dahulu juga menjalankan permainan ini adalah untuk hiburan peraduan tenaga dan sebagai perlambangan adat resam suku kaum yang diwakili olehmasyarakat tertentu pada ketika itu.Contoh permainan tradisional masyarakat Melayu ialah permainan wau, congkak, gasing, batu seremban, sepak raga ( sepak takraw ), ting-ting, baling selipar/tin, galah panjang, tutup oren, konda-kondi, guli dan laga biji getah.

Kesimpulannya, pakaian dan permainan tradisional masyarakat Melayu adalah penting dalam menjadi lambang dan identiti yang diwarisi dari zaman dahulu secara turun temurun untuk dibawa kepada generasi masa hadapan di Malaysia.
Comments