top of page

MAJALAH

rasam

Search
Writer's picturemixmalaysianpublic

Uniknya Khazana Kaum Melanau


Sarawak Bumi Kenyalang merupakan negeri yang terbesar di Malaysia. Bumi Kenyalang sememangnya kaya dengan pelbagai hasil bumi, kehijauan dan masyarakat penduduknya yang pelbagai suku dan etnik. Setiap suku mempunyai keistimewaan dan warisan budaya masing-masing yang unik. Antara etnik yang terdapat di Sarawak adalah seperti Melayu, Cina, India, Iban, Bidayuh, serta Melanau. Menurut statistik 2010 yang diambil dari Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, Melanau merupakan suku kaum kelima terbesar di Sarawak dengan peratusan 5% iaitu sebanyak 123,410 orang daripada keseluruhan 2,471,140 orang. Melanau merupakan masyarakat etnik di Sarawak yang mempunyai adat dan

keistimewaannya. Dalam kehidupan seharian mereka, setiap perbuatan dan tingkah laku mempunyai kepercayaan yang tersendiri termasuklah kepercayaan terhadap alam, asal usul kejadian manusia, cara perubatan dan juga majlis keramaian. Kesemua adat kepercayaan mereka ini diyakini dibantu oleh kuasa ghaib.


Sarawak Bumi Kenyalang bukan sahaja kaya dengan warisan budaya daripada kepelbagaian kaumnya malah juga kaya dengan permainan tradisi yang diwarisi sejak zaman berzaman dan permainan tradisi ini tetap dijaga keutuhannya sehingga sekarang. Sudah tentu setiap permainan tradisi ini juga mempunyai sejarahnya yang tersendiri serta keistimewaannya juga pantang larangnya yang sudah tentu ramai orang Sarawak sendiri tidak mengetahuinya.


Tibow ialah satu buaian gergasi yang mana permainannya sering dilangsungkan sewaktu menyambut Pesta Kaul bagi masyarakat Melanau Sarawak. Pesta ini selalu berlansung pada bulan April dan sepanjang bulan tersebut acara-acara dan program festival kaul diadakan sehingga akhir bulan april habis.


Tibow atau Pisa’ Tibow adalah salah satu permainan tradisi yang diwarisi sejak zaman berzaman oleh etnik Melanau Sarawak. Permainan tradisi biasanya dimainkan sewaktu berlangsungnya Pesta Kaul yang merupakan festival unik dari etnik Melanau Sarawak yang dirayakan saban tahun dan merupakan antara acara tahunan di dalam kalendar Sarawak.


Tibow iaitu sejenis permainan buaian gergasi pula merupakan antara permainan tradisi yang wajib ada apabila pesta ini berlangsung. Permainan Tibow ini sebenarnya adalah salah satu simbol perpaduan dan bersuka-ria (berkaul dalam dialek bahasa Melanau) dan merupakan tarikan kepada pemuda-pemuda Melanau yang berani sahaja kerana banyak lagak-lagak ngeri yang berlaku sewaktu permainannya.


Kebiasaannya ketinggian tibow ini adalah antara 8 hingga 10 meter dan dibina dalam keadaan yang condong di atas tanah rata. Tibow dibina kepada 2 bahagian iaitu bahagian pertama mempunyai para atau pemidang yang seakan-akan anak tangga dan untuk bahagian kedua pula terdiri daripada 2 batang tiang yang berbentuk pyramid. Pada bahagian inilah akan terdapat juntaian tali daripada rotan dan rotanini akan dihayun dari kiri ke kanan seperti sebuah buaian gergasi.


Rotan yang berhayun inilah nanti akan dilompat oleh seorang pemain dan kemudian akan dilompat seterusnya oleh pemain ke 3, 4, 5 sehingga tibow ini tidak boleh berayun lagi. Kedengarannya agak mudah tetapi sebenarnya hanya lelaki yang berani sahaja akan mampu mencuba permainan ini kerana ketinggiannya serta kelasakannya sememangnya sukar digambarkan.


Oleh kerana itulah pembinaan sebuah tibow memerlukan perincian yang tinggi termasuk di dalam memilih tapak untuk mendirikannya kerana ianya harus didirikan teguh pada kawasan tanah yang lembut serta tidak mempunyai batu-batu kerikil. Ini kerana tahap keselamatan pemain juga diambilkira kerana sekiranya tersilap langkah maka akan jatuh tersembam ke muka bumi dan tiada tilam ataupun jala yang menjadi alas keselamatan sebaliknya hanya permukaan tanah. Dan kerana itulah agaknya mengapa Tibow sering didirikan di tepi pantai yang luas dan rata.


Apabila berbicara mengenai Kaum Melanau tidak boleh tidak kita akan mengaitkan mereka dengan dunia maritim atau lautan. Merekalah antara kaum di Sarawak yang terkenal dengan dominasi mereka di dunia lautan daripada mencari rezeki sebagai nelayan menjadikan ombak dan badai sebagai padang permainan mereka. Dan daripada kaum merekalah banyak kulinari-kulinari tradisional berdasarkan makanan laut menjadi pembuka selera buat santapan keluarga pelbagai bangsa dan agama seperti umai serta banyak lagi.


Sejajar dengan itu juga di dalam masyarakat Melanau mempunyai kepelbagaian jenis perahu atau kapal tradisional yang sebenarnya mempunyai identitinya sendiri berdasarkan fungsi-fungsinya digunapakai sejak daripada zaman nenek moyang mereka lagi. Bahong, badong, bakong, buagan dan bidar merupakan nama-nama perahu tradisi di dalam masyarakat Melanau dan perlulah diketahui ianya bukan satu nama standard. Ini kerana seperti yang kita ketahui setiap dialek kaum Melanau mempunyai keunikannya tersendiri contohnya dialek Melanau Mukah sudah tentu tidak sama dengan dialek Melanau Igan yang mana menyebabkan gelarannya mungkin berlainan.


Untuk perahu Bidar pula mempunyai 2 jenis fungsinya dan saiznya juga turut memainkan peranan berdasarkan fungsinya. Bidar yang dihiasi dengan pelbagai corak bendera mahupun aksesori tradisi Melanau seperti terendak, bakul mahupun hiasan “Serahang” adalah bidar yang digunakan untuk pesta tradisi mereka iaitu Pesta Kaul.


Jenis perahu bidar yang kedua pula adalah untuk kegunaan perlumbaan perahu. Perahu Bidar Melanau sudah terkenal dengan kejaguhannya sebagai “Raja Regatta Di Sarawak” sejak dahulu lagi. Sekitar tahun 1872 iaitu ketika Sarawak Regatta 1872 dibawah pentadbiran Brooke, Bidar Melanau bernama “Sri Matu” telah menjadi Raja Sungai Sarawak buat sekian kalinya walaupun baru sahaja diperkenalkan. Ianya telah membuka mata para penonton Eropah mahupun masyarakat Sarawak pada masa itu bahawa perahu tradisi Melanau juga mempunyai kualitinya yang tersendiri.

Keindahan pakaian kaum etnik dari Sarawak terserlah dengan ragam hias yang mempamerkan kemahiran tangan yang menghasilkannya. Ragam hias pada pakaian membentuk motif-motif etnik sama ada dari tenunan, jalian manik dan labuci. Perhiasan diri dari perak dan manik yang sarat melambangkan status dan kekayaan bagi pemakainya.


BAJU BALDU HITAM

Pakaian lelaki Melanau daripada satin berwarna gelap dipadankan dengan kain songket bunga tabur dan pakaian kepala sengkulon dari Jawa. Wanita Melanau menggayakan baju baldu hitam dengan sarung songket Brunei tenunan Sarawak, bertali pinggang pending besar, diserikan dokoh dan perhiasan kepala kepih sanggul.


BAJU BABAN

Wanita Melanau menggayakan Baju Baban asal pakaian pengantin Melanau. Baju kurung pendek warna hitam dipadankan dengan kain songket. Di dada memakai 2 helai selendang merah dan perhiasan diri kepih dada dan kepih sanggul.


TERENDAK

Terendak Melanau iaitu topi, atau juga lebih dikenali sebagai Seraong oleh bangsa itu sendiri, merupakan salah satu warisan seni rupa anyaman bagi masyarakat Melanau yang diperbuat dari rotan dan dahan pokok rumbia yang dianyam. Dahulu, terendak ini dibuat oleh masyarakat Melanau sebagai pelindung panas dan hujan terutamanya bagi nelayan atau petani untuk melindungi mereka sendiri dari terkena sinaran matahari yang terik. Malah, Terendak ini juga digunakan untuk tujuan tradisi seperti Upacara Pesta Kaul atau juga dikenali sebagai Pesta Memuja Pantai. Terendak ini dianyam dengan pelbagai corak dan jalur yang berwarna-warni yang melambangkan kaum Melanau yang pelbagai. Terendak mempunyai saiz yang berbeza dan boleh digunakan oleh pelbagai lapisan masyarakat yang berbilang kaum. Malahan, sehingga kini Terendak ini masih digunakan oleh masyarakat Melanau itu sendiri dalam menjalani kehidupan seharian.


Sekarang permainan tradisi etnik Melanau ini masih lagi dimainkan di dalam acara-acara keramaian bagi masyarakat Melanau Sarawak. Satu permainan tradisi yang seharusnya terus kita jaga dan pulihara agar ianya tidak hilang dimamah arus kemodenan. Begitu juga baju rasmi Melanau yang terdapat keunikannya tersendiri. Semoga generasi muda mengenali permainan dan pakaian tradisi kita dari etnik Melanau Sarawak. Kita martabatkan permainan dan pakaian tradisi kita agar ianya juga gah di mata dunia.

2,055 views0 comments

Comments


bottom of page